|
Dua dekad kebelakangan ini, konsep 'Keganasan Islam' (Islamic Terror)
menjadi topik perbincangan yang hangat. Selepas serangan 11 September
yang menjadikan ribuan orang yang tidak bersalah di New York dan Washington
sebagai sasaran, konsep ini bangkit semula menjadi agenda antarabangsa.
Sebagai seorang Islam, kita setentunya mengutuk perbuatan ini dan merakamkan
ucapan takziah kepada rakyat Amerika.
Tulisan ini akan menekankan bahawa Islam bukanlah punca kepada segala
keganasan malah keganasan tidak ada tempatnya di dalam Islam. Sungguhpun
perampas kapal terbang itu disyaki sebagai seorang Islam tetapi itu tidak
bermakna jenayah yang dilakukan itu dilabelkan sebagai 'Keganasan Islam'.
Begitu juga tidaklah dinamakan 'Keganasan Yahudi' jika penjenayah itu
adalah penganut Yahudi serta bukanlah 'Keganasan Kristian' walaupun penjenayah
itu Kristian.
Ini kerana, membunuh orang yang tidak berdosa atas
nama agama adalah salah sama sekali. Seperti yang sedia maklum
bahawa mereka yang terbunuh di Washington atau New York merupakan orang
yang beriman dengan Jesus (Kristian), Nabi Musa (Yahudi) dan orang Islam.
Menurut Islam, membunuh orang yang tidak bersalah menjadi satu kesalahan
yang besar dan azab neraka adalah paling layak baginya kecuali diampunkan
Allah. Justeru, adalah mustahil orang yang beriman terjebak dalam perkara
yang tidak diredhai ini.
Apa yang jelas ialah penjenayah-penjenayah itu sebenarnya telah merosakkan
nama agama sendiri. Mereka sebenarnya telah menyebabkan sesebuah agama
itu dipandang jahat di mata orang dan telah menanam rasa kebencian kepada
mereka yang soleh. Akibatnya, setiap serangan yang dikatakan mewakili
'agama' sebenarnya secara tidak langsung 'memerangi' agama mereka sendiri.
Kesemua tiga agama samawi menganjurkan kasih sayang, belas dan keamanan.
Keganasan jelas amat kontra dengan agama kerana ia ganas, sadis, sengsara
dan menumpahkan darah. Oleh hal yang demikian, ketika menyelidiki latar
belakang seorang pengganas itu mestilah diperiksa kepercayaannya bukan
agamanya. Orang yang berlatarbelakang fascist, communist, racist
atau materialist merupakan antara yang berpotensi menjadi penjenayah.
Nama atau identiti pemetik picu tidaklah penting kerana jika mereka boleh
membunuh orang yang tidak bersalah dengan memejam mata, itu tidak patut
dilabelkan sebagai seorang yang beragama tetapi layak yang sebaliknya.
Mereka menyerang tanpa rasa takut kepada tuhan kerana gila untuk menumpahkan
darah dan melakukan kerosakan.
Berdasarkan itulah, 'Keganasan Islam' amat tidak cocok dengan ajaran Islam.
Lebih-lebih lagi Islam tidak bersetuju langsung dengan keganasan malah
mencegah keganasan dengan menganjurkan keamanan dan kesejahteraan ke serata
alam.
Al-Quran Menganjurkan Kebaikan, Keadilan dan Keamanan
Jika dikaji dengan terperinci dapat disimpulkan bahawa keganasan itu
dilakukan seseorang bagi mengejar target dalam agenda politiknya. Dalam
erti kata lain, mangsa keganasan bukanlah sasaran utama tetapi yang sebenarnya
ditujukan kepada pihak lain. Perbuatan keji yang dilakukan Hitler dan
Stalin menjadi contoh yang tepat dan sememangnya bertentangan dengan moral
keadilan manusia.
Al-Quran diturunkan untuk memandu manusia menurut kebenaran dan Allah
memerintah hamba-Nya supaya mengadaptasikan akhlak dalam kehidupan. Akhlak
yang merangkumi cinta, belas kasihan, toleransi, dan keamanan boleh diamalkan
ke seluruh dunia:
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam
keamanan (Islam) secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah
syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (Surah al-Baqarah:
208)
Ajaran dari Al-Quran yang diimani orang Islam bukan sahaja menjadi panduan
hidup mereka tetapi sesuai juga untuk bukan Islam kerana isi kandungannya
mencakupi keadilan, memelihara orang yang memerlukan dan bersalah serta
mencegah dari segala kerosakan. Allah juga berfirman, "Sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah al-Qasas:
77)
Membunuh seseorang tanpa sebab yang diterima merupakan salah satu contoh
kerosakan. Allah mengulangi di dalam Al-Quran seperti yang pernah diungkapkan
kepada Yahudi di dalam Old Testament:
Oleh karena itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani
Israil, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana
orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di
muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan
barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah
dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah
datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan
yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh
melampaui batas dalam membuat kerosakan di muka bumi. (Surah al-Maidah:
32)
Jelas diperkatakan bahawa membunuh seseorang kecuali jika orang itu membuat
kekacauan di muka bumi adalah satu jenayah yang diibaratkan seperti membunuh
manusia seluruh alam. Begitu juga dengan kes yang membunuh manusia beramai-ramai
dengan cara serangan membunuh diri (suicide attacks) juga terlibat
sekali. Allah memberitahu kita akan balasan di akhirat bagi mereka yang
sekejam ini:
Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim
kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu
mendapat azab yang pedih. (Surah ash-Shura: 42)
Justeru, bagaimana boleh timbul satu tema 'Keganasan Islam'? Dari apa
yang dijelaskan adalah mustahil jika dikaitkan Islam dengan keganasan.
Apa yang jelas di sini ialah punca keganasan bukanlah dari agama tetapi
dari faktor fenomena sosial.
Tentera Salib: Manusia Tidak Bertamadun Yang Menginjak
Agamanya Sendiri
Isi kandungan agama yang benar atau sistem kepercayaan adakalanya boleh
diseleweng oleh penganutnya yang palsu (pseudo-adherents). Contoh
yang tepat boleh dilihat ketika zaman kegelapan dalam sejarah Kristian
yang diputarbelitkan oleh tentera perang salib.
Tentera salib yang terdiri dari penganut Kristian Eropah yang bermatlamat
untuk menjajah Holy Land (Palestin) dari tangan orang Islam di
akhir abad ke-11 sebenarnya dikatakan berjuang atas nama agama. Tetapi
mereka telah memanipulasi pengikutnya dengan memasuki tanah itu dengan
keganasan dan kekejaman. Orang ramai yang tidak bersalah menjadi mangsa
pembunuhan dan banyak kampung dan kota diceroboh.
Jerusalem yang menjadi kediaman orang Islam, Yahudi dan Kristian di bawah
pentadbiran Islam yang aman telah bertukar menjadi medan pertumpahan darah
yang amat dahsyat. Kekejaman mereka tidak berhenti setakat itu sahaja
malah kota Istanbul yang merupakan kota Kristian juga diceroboh dan habis
emas permata dicuri dari gereja-gereja.
Tanpa disangkal bahawa keganasan ini amat bertentangan dengan ajaran
Kristian kerana agama Kristian yang dimaksudkan Bible ialah 'Gospel of
Love'. Di dalamnya menurut Matthew, Jesus mengatakan, "Kasihilah
musuh kamu dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu"
kepada penganutnya (Matthew, 5/44). Menurut Luke pula, Jesus mengungkapkan
"Jika seseorang memukul pipi kamu, balaslah dengan cara yang lain"
(Luke, 6/29). Di dalam bahagian New Testament pula tidak ada langsung
rujukan yang melegitimasi keganasan.
Yang menjadi persoalan ialah jika Kristian adalah agama yang berteraskan
kasih sayang, bagaimana boleh terjadi peristiwa berdarah yang dilakukan
tentera salib? Punca utama berlaku sedemikian ialah kerana tentera salib
itu dibentuk dari mereka yang jahil tentang agama, yang tidak pernah membaca
atau melihat Bible sepanjang hayat atau mereka yang tidak menghayati ajaran
yang terkandung di dalam Bible. Mereka dihimpunkan menjadi tentera salib
di bawah slogan "God wills it".
Mengikut sejarah, pada zaman itu kehidupan penganut Kristian di Timur
lebih bertamadun jika dibandingkan dengan Kristian di Barat. Cuma selepas
peristiwa berdarah itulah barulah Kristian Ortodoks mengambil pendekatan
untuk hidup bersama orang Islam. Menurut Terry Johns, pengulas BBC, dengan
berakhirnya perang salib di timur tengah 'telah mewujudkan kehidupan bertamadun
dengan gabungan tiga agama di bawah satu bumbung keamanan'. Nyata bahawa
tentera salib itu bukanlah penganut sejati Kristian tetapi mereka terdiri
dari orang yang jahil dalam segala ilmu lalu dipergunakan untuk menjayakan
sesuatu ideologi walaupun tidak wujud langsung sebarang kepentingan ideologi
itu dalam agama. Kekejaman Khmer Rouge di Kemboja menjadi contoh kerana
terpengaruh dengan ideologi komunis yang cenderung kepada keganasan. Sebabnya
juga kerana mereka terdiri dari orang yang jahil. Mereka yang jahil ini
sebenarnya keliru dengan tujuan keganasan yang kononnya digunakan untuk
membanteras keganasan (atau untuk agama).
Sifat Orang Badwi di dalam Al-Quran
Pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w) wujud dua bentuk penempatan di tanah
Arab iaitu penduduk kota dan badwi (gurun Arab). Mereka yang tinggal di
kota banyak terdedah dengan dunia luar dan kehidupan mereka lebih bertamadun.
Kehidupan mereka penuh dengan nilai-nilai murni selain membudayakan hidup
dengan kesusasteraan terutamanya puisi. Berbeza dengan mereka yang mendiami
di gurun yang hidup berpindah randah (nomad) dengan nilai kebudayaan yang
carca merba. Kesenian dan kesusasteraan langsung tidak dipedulikan menyebabkan
mereka membangun tanpa nilai murni dan sifat yang luhur.
Islam yang mula berkembang di Mekah merupakan kota yang penting di semenanjung
Arab. Justeru, ramailah yang memeluk Islam dan penduduk di gurun juga
tidak ketinggalan memeluknya. Setelah itu timbul masalah kerana penghuni
gurun ini mundur dari segi kebudayaan dan intelektual yang menghalang
mereka memahami dan mendalami Islam sepenuh jiwa. Allah menyatakan hal
ini di dalam Al-Quran:
Orang-orang Arab Badwi itu, lebih banyak kekafiran dan
kemunafikannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan
Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Taubah: 97)
Nyatalah bahawa orang badwi itu merupakan kumpulan yang terdiri dari
orang yang kufur yang munafiq serta cenderung untuk mengengkari perintah
tuhan. Di dalam zaman nabi sendiri orang-orang sebegini menjadi petulang
di dalam dunia Islam. Contohnya seperti golongan 'Kharijiyyah' yang jelas
bersifat luar tatasusila kerana mereka merupakan kelompok yang keluar
dan memberontak dari golongan Syiah. Golongan fanatik, liar dan ekstrem
ini mendakwa diri mereka Islam walaupun tidak memahami Islam sepenuhnya
selain menyeleweng isi Al-Quran untuk memerangi orang Islam sendiri. Saidina
Ali yang merupakan sahabat paling rapat dengan nabi sehingga diiktiraf
'pintu segala ilmu' juga dibunuh angkara aktiviti ganas golongan kharijiyyah
ini.
Telah terbukti bahawa tentera salib mengganas setelah ajaran Kristian
diseleweng dan disalahtafsirkan, begitu juga dengan puak-puak yang mengkhianat
Islam semata-mata untuk menghalalkan keganasan. Apa yang sama antara tentera
salib dan orang badwi ini ialah mereka jahil, tidak faham, kurang didikan,
liar dan terpencil dari umum. Keganasan yang dilakukan mereka berpunca
dari struktur sosial bukannya agama yang menuntut melakukannya.
Hari ini, dunia Barat telah menyalahertikan fungsi organisasi atau pertubuhan
Islam di seluruh dunia. Bagi mereka semua organisasi atau pertubuhan itu
merupakan pendukung kepada kegiatan keganasan. Persepsi ini perlu diubah
walaupun terdapat badan pengadilan yang boleh membuktikan kesahihan dakwaan
itu. Yang penting ialah langkah jangka masa panjang perlu dirangka supaya
dapat menyelesaikan permasalahan ini.
Dunia Barat terutamanya Amerika yang mempunyai kuasa majoriti di dunia
tidak patut mempergunakan kuasa itu untuk memerangi Islam atau orang Islam
tetapi sebaik-baik dipergunakan untuk memberi khidmat bagi menyantuni
keperluan dunia Islam. Teori 'benturan peradaban' (clash of civilization)
yang menjadi doktrin bermula 90an ini sewajarnya dilenyapkan.
Dalam masa yang sama, umat Islam diseru bersatu bagi menyebarluaskan
maklumat tentang Islam yang menganjurkan kasih sayang, persaudaraan, keamanan
dan kesejahteraan. Sebarang informasi yang salah boleh menimbulkan perbalahan
dan menyemai semangat radikal. Selain itu, umat Islam seharusnya menonjolkan
akhlak-akhlak mulia yang ditonjolkan Al-Quran.
Dari penjelasan di atas dapat difahami bahawa punca keganasan ialah kesempitan
fikiran dan setentunya pendidikan merupakan jalan keluar baginya. Orang
yang kesal dengan keganasan dan yang mengatakan keganasan hanya menghancurkan
dan merosakkan Islam dan seluruh masyarakat seharusnya mengambil inisiatif
untuk mencari alternatif mendidik masyarakat bagi membendung keganasan.
Harapan semua orang supaya dapat menyelamatkan dunia dari segala keganasan,
huru-hara dan kekejaman patut diberi perhatian. Amerika Syarikat yang
didominasi oleh populasi Kristian yang mendakwa negaranya 'a nation under
God' sebenarnya mempunyai perkaitan rapat dengan orang Islam. Allah juga
mengatakan penganut Kristian sebagai "...paling
dekat persabahatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang
yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani".
(Surah al-Maidah: 82).
Dalam sejarah, orang yang jahil (tentera salib dan orang badwi) sebenarnya
tidak memahami fakta sebenar sehingga menimbulkan perbalahan antara dua
agama yang besar ini. Supaya kejadian ini tidak berulang, penganut Kristian
dan Islam sepatutnya duduk semeja untuk saling bekerjasama. Duduk semeja
bukan untuk mencari siapa salah tetapi bermusyawarah menghasilkan penyelesai
masalah agar tidaklah lagi agama dikaitkan dengan sebarang keganasan.
Susu sebelanga akan dibuang sekiranya dimasuki walau hanya setitik nila!
|